Figueroa kecewa kekalahan JDT 

By Staff Writer 17 July 2019 5057
Figueroa kecewa kekalahan JDT 
Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa, kecewa selepas pasukannya tewas mengejut 0-1 kepada Petaling Jaya City (PJ City) FC dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

PJ City memperoleh kemenangan tipis melalui sentuhan jaringan Washington Brandao pada minit ke-63, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah di Larkin buat juara Liga Super itu selepas 21 perlawanan dalam liga.

“Sudah tentu setiap pasukan tidak mahu kalah dan hari ini, akhirnya ia berlaku kepada kami dan saya kecewa.

"Kebimbangan utama saya adalah bagaimana kami bermain dan oleh itu, kami harus memperbaikinya dalam perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) pada 21 Julai, " katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Sehubungan itu, Figueroa berharap skuad Harimau Selatan itu akan bangkit semula bagi menebus kekalahan itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PJ City, K. Devan, memuji barisan pemainnya yang mempamerkan aksi memberangsangkan, termasuk Washington serta penjaga gol kedua, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, yang berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya barisan serangan JDT.

“Saya memang berpuas hati dengan prestasi pasukan, apatah lagi beraksi menentang juara bertahan Liga Super di laman mereka dan untuk itu, saya lihat kemenangan ini amat bermakna.

“Saya rasa motivasi JDT untuk bermain dalam perlawanan ini mungkin kurang memandangkan mereka sudah bergelar juara Liga Super. Namun bagi saya, kemenangan ini merupakan satu catatan sejarah bagi pasukan PJ City,” jelas pengendali berpengalaman itu.

Untuk rekod, JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut sejak 2014 selepas menundukkan Melaka 2-1 di Stadium Hang Jebat, 26 Jun lalu.

Sementara itu, menurut laman web Johor Southern Tigers, pasukan JDT akan diraikan dalam upacara sambutan kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam berturut-turut di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Jumaat ini.

Pertunjukan bunga api yang menakjubkan dan persembahan lampu, lebih hebat dan lebih baik daripada tahun-tahun terdahulu, akan menemani juara ‘double hat-trick’ itu manakala gimik kejutan istimewa berkonsepkan elektronik akan menandakan satu lagi kejayaan kempen yang menyaksikan JDT meraih kejayaan “untouchable” dalam Liga Malaysia.



-- BERNAMA

 

About Author

Staff Writer

Comment