Pemain sayap Terengganu, Ferris Danial Mat Nasir, melihat persefahaman di kalangan rakan sepasukan semakin baik dalam usaha memastikan pasukan Pantai Timur itu mencapai sasaran untuk meraih kelayakan ke saingan Liga Super musim hadapan.

Terengganu terus mengekalkan rentak enam perlawanan tanpa kalah selepas terikat 1-1 dengan Sarawak dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu kelmarin.

Lantas, ia memberikan lebih semangat buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim ini dalam mencabar Negeri Sembilan yang ketika ini menerajui saingan Liga Perdana.

Sabah menjadi lawan seterusnya buat Terengganu di laman sendiri Jumaat ini dan Ferris percaya rentak konsisten ini dapat dikekalkan.

"Prestasi kami semakin meningkat perlawanan demi perlawanan. Saya akan cuba yang terbaik dalam aksi akan datang," katanya.

"Setiap kelemahan yang kami lakukan akan diperbaiki ketika kami menjalani sesi latihan.

Dalam aksi berdepan Sarawak, kelibat Ferris banyak memainkan peranan dalam usaha mencipta peluang jaringan.

Begitupun ketumpulan penyudah mengakibatkan Terengganu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri, apatah lagi beraksi tanpa kelibat beberapa pemain utama akibat kecederaan dan penggantungan.

Kapten, Latiff Suhaimi, dijangka cergas sepenuhnya bagi aksi menentang Sabah manakala tonggak import, Issey Nakajima Farran, juga selesai menjalani penggantungan satu perlawanan.