Felda tuntut penjelasan MFL

By Staff Writer 14 August 2019 3425
Felda tuntut penjelasan MFL
Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, memohon penjelasan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai status tunggakan gaji membabitkan enam pemain dan bekas jurulatih The Fighters, B. Sathianathan, yang masih belum diselesaikan.

Felda tidak menerima agihan geran bagi pembayaran fasa pertama daripada MFL membabitkan jumlah RM1.5 juta pada 15 Julai lalu kerana mempunyai masalah gaji tertunggak.

Situasi itu menyaksikan masalah tersebut diselesaikan terus oleh badan pentadbir Liga Malaysia itu menerusi kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menggunakan geran berkenaan.

Namun, sehingga kini pemain terbabit selain Sathianathan belum menerima sebarang pembayaran daripada MFL atau FAM walaupun sudah hampir memasuki pembayaran fasa kedua pada Khamis ini.

Pemain yang dimaksudkan adalah bekas kapten, Shukor Adan, Ahmad Syamim Yahya, Wan Zack Haikal Wan Noor, Farizal Harun, Azreen Zulkafali dan Hadin Hazman dengan jumlah tunggakan melebihi RM1.5 juta.

"Sepatutnya MFL menguruskan pembayaran tersebut terus kepada pemain dan jurulatih. Baru-baru ini, kami hantar semula surat kepada MFL bagi mendapatkan status pembayaran agar kami boleh memberi maklumat tersebut kepada pemain," ujar Afizal.

Kemelut itu dilihat menjejaskan persiapan Felda untuk melengkapkan permohonan pelesenan kelab yang perlu dibuat sebelum 31 Ogos ini bagi mengelak daripada kegagalan bertanding musim depan.

"Kami sudah naik ke Liga Super untuk musim depan. Sekarang, kami sangkut kepada isu tunggakan dan diharapkan jika ia dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini, proses pelesenan kelab juga dapat dilengkapkan."
 

About Author

Staff Writer

Comment