Pengendali Felda United, Azmi Mohamed, optimis pasukannya bersedia untuk menangani cabaran PKNS FC dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Tun Razak, Jengka, Sabtu ini.

Bagi Azmi, skuad The Fighters kini sudah mula membentuk keserasian di antara tonggak baru dan lama pasukan itu.

Azmi optimis pemain sedar tanggungjawab mereka dan pentingnya untuk merakamkan tiga mata berharga dalam aksi pertama di laman sendiri.

"Memang kami perlu memenangi perlawanan ini dan tekanan itu sangat tinggi.

"Saya yakin dan percaya pemain-pemain sudah bersedia dan sedar bahawa tanggungjawab dalam perlawanan Sabtu ini sangat besar," ujarnya.

Namun, Azmi tetap berwaspada dan menghormati skuad kendalian E. Elavarasan itu yang diperkuatkan beberapa tonggak berpengalaman musim ini seperti Safee Sali, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Patrick Ronaldinho Wleh.

Perancang tengah Felda United, Zah Rahan Krangar, turut menyuarakan nada sama kerana menyedari PKNS akan menurunkan barisan pemain yang berbeza berbanding musim lalu.

"Saya masih belum berpuas hati kerana belum dapat menonton aksi PKNS FC.

"Mereka mempunyai ramai pemain baru dan tonggak penting seperti Safee Sali dan Patrick Ronaldinho.

"Mereka semua adalah pemain-pemain bagus, tapi kami juga punya pasukan yang baik.

"Penting untuk kami menang," kata Zah Rahan.