Penyerang Felda United, Fazrul Hazli Kadri, semakin berkeyakinan sejak kerap menjadi pilihan jurulatih, B. Sathianathan, dalam beberapa perlawanan lalu, termasuk di pentas Piala AFC.

Fazrul adalah penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2016 ketika bersama Perak, namun bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama bersama The Fighters pada awal musim ini.

Bagaimanapun, kebelakangan ini dia diberi ruang beraksi, termasuk berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Ceres FC serta menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-0 itu.

Justeru itu, dia berharap jaringan sulung itu mampu memberi ruang kepadanya untuk disenaraikan sekali lagi bertemu wakil Singapura, Tampines Rovers, di Jengka, esok.

"Kalau diberi peluang bermain, saya mahu menyumbat gol bagi meneruskan keyakinan.

"Saingan Piala AFC sangat berbeza dengan liga tempatan, cabarannya lebih tinggi," ujarnya.

Fazrul yang mampu beraksi di posisi sayap juga tidak menolak faktor Sathianathan yang memberinya peluang utama, mendorong prestasinya kembali berada di tahap terbaik.

Bekas jurulatih kebangsaan itu pernah bersama Fazrul ketika di ATM FA pada musim 2015.

"Saya pernah bermain di bawah tunjuk ajarnya, mungkin itu memberi sedikit kelebihan kerana dia sudah mengenali corak permainan saya."