Ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Fauzi Pilus, mengakui kecewa dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan The Cops kepada Kelantan 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

“Saya rasa kami bertanggungjawab kepada keseluruhan suasana perlawanan. Saya sendiri bertanggungjawab kerana kami tidak dapat mengatur permainan dengan menarik. Beberapa pemain juga tidak dapat berfungsi dengan kemas.

“Dua gol mudah dilepaskan oleh Haziq (penjaga gol, Muhd Haziq Nadzli) malam ini. Satu daripada sepakan percuma dan satu lagi hasil bola lantunan yang tidak berbahaya. Kami terima hakikat kekalahan malam ini,” katanya kecewa.

Mohd Fauzi menganggap The Cops tidak sepatutnya menerima kekalahan ini kerana mereka berjuang untuk mendapatkan mata penuh dan kekal selesa dalam saingan Liga Super.

“Memang kami tidak sepatutnya menerima kekalahan sebegini kerana semua pemain sedar kepentingan memungut tiga mata penuh untuk kekal berada dalam saingan Liga Super.

"Tetapi dengan permainan yang tidak memberangsangkan malam ini, kami terpaksa terima padah,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan PDRM untuk saingan peringkat separuh akhir Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Darulaman 30 September nanti, Fauzi mohon untuk berehat dahulu sebelum memikirkan sebarang strategi yang bakal digunakan.

“Kita akan berehat sehari dua selepas ini dan kemudian barulah berfikir strategi yang bakal digunakan menentang Kedah dalam perlawanan yang cukup penting kepada kami,” katanya.

Dalam saingan malam tadi, The Red Warriors (TRW) memalukan the Cops 2-1 melalui jaringan pemain tengah berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin, hasil sepakan percuma pada minit ke-31 yang menewaskan penjaga gol PDRM, Muhd Haziq.

Selang sembilan minit, penyerang PDRM, Muhd Fakhrul Aiman Sidid, menyamakan kedudukan apabila menyepak masuk hantaran Guilherme de Paula untuk menewaskan penjaga gol TRW, Khairul Fahmi Che Mat.

Penyerang gantian, Blaze Ilijoski, menamatkan kemarau jaringan apabila sepakan kencangnya berjaya menewaskan Muhd Haziq untuk kali kedua pada minit ke-78, sekali gus membolehkan TRW pulang dengan tiga mata penuh.