Teka teki siapa nakhoda baru Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan diketahui pada minggu pertama Januari depan, kata Timbalan Presidennya, Abdul Wahab Rahim.

Menurutnya, perkara itu akan diusulkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadualkan pada 7 Januari depan, seterusnya menjadi titik noktah persoalan yang bersarang dalam minda peminat bola sepak Sarawak.

"Terdapat beberapa nama yang disyorkan, namun semuanya terpulang kepada AGM kelak.

"Yang pasti selepas itu, kami akan ada Presiden baru yang akan memimpin persatuan ini," kata Abdul Wahab.

Dalam mesyuarat agungnya pada 17 September lalu, jawatan Presiden FAS itu dikosongkan mengikut perlembagaan bagi memilih "orang baru" setelah Datu Sudarsono Osman bertegas dengan keputusannya untuk tidak dipilih semula.

Dalam mesyuarat tersebut, Abdul Wahab yang mewakili Persatuan Bola Sepak Sarikei dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS, sekali gus memangku jawatan presiden untuk sementara waktu.

Empat muka baru kemudian dipilih sebagai naib presiden adalah Cassidy Morris, Abang Suhordie Abang Zaini, Duke Janteng dan Dato Posa Majais manakala seorang muka lama, Razali Dolhan mengekalkan kedudukannya.

Sebelum ini, beberapa nama termasuklah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Layar, Gerald Rentap Jabu, dikhabarkan akan mengisi jawatan tersebut.

Begitu juga tokoh usahawan wanita terkemuka Sarawak, Datuk Hanifah Taib-Alsree. Namun Hanifah memilih untuk membantu dari belakang, dengan menjadi penasihat persatuan tanpa sebarang komitmen yang jelas.

Malah kepimpinan baru FAS turut mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, untuk mendapat restu, nasihat dan sokongan beliau.

Kerana itulah penyandang jawatan tersebut begitu dinanti-nanti, sementelah beberapa nama dibawa masuk sebagai exco bebas persatuan. Antaranya termasuklah Abdullah Saidol dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Hamzah Brahim.

Menurut sumber, mesyuarat itu kelak akan turut membincangkan senarai akhir pemain yang akan mewakili Sarawak untuk Liga Super musim ini dengan sesi perkenalan dengan peminat akan dilangsungkan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuching, keesokan harinya.

Pada musim ini, David Usop dikekalkan sebagai ketua jurulatih dengan dibantu oleh Stanley Frazier dan Pengiran Bala.

Tugas sebagai pengurus pasukan pula akan dipikul oleh Datuk Posa Majais, yang juga salah seorang naib presiden yang pernah memimpin skuad Piala Presiden Negeri.

Menurut Wahab, meskipun Sarawak akan mengamalkan perbelanjaan berhemah pada musim ini, namun mereka komited untuk meletakkan kedudukan pasukan dalam kelompok enamteratas.

"Kami menjangkakan perbelanjaan sekitar RM7 juta untuk mengurus pasukan senior musim depan, dan pengurangan ini banyak disumbangkan dengan kemasukan pemain-pemain tempatan bagi mengisi pemain luar Sarawak seperti sebelum ini,” katanya lagi.