Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, akur seandainya Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan sejumlah bayaran pampasan melibatkan graduan daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tetapi ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

FAS sedia membayar pampasan itu, namun ia bersyarat.

Ia mestilah bertepatan dengan prosedur FIFA dan FAM dalam usaha mereka untuk mendapatkan beberapa pemain akademi itu selepas cemerlang dalam Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam bulan lalu.

"Kita berada dalam era profesional, apapun yang dikemukakan mestilah berpandu kepada perlembagaan FAM atau FIFA.

"Kerana kami tidak mahu kewujudan campur tangan kerajaan dan sebagainya.

"Saya rasa, ia terpulang kepada MSN untuk meletakkan harga atau sebagainya.

"Kami tidak nafikan ia adalah produk daripada NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara).

"Apapun, kita perlu melihat balik kepada perlembagaan," katanya.

Abdul Rauf mengakui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ada menghubungi beberapa pemain skuad B-18 negara untuk menyertai mereka musim depan.

Namun, terdapat kekangan yang berbentuk amaran daripada MSN, yang tidak mahu pemain akademi itu diganggu selagi tempoh perkhidmatan mereka belum tamat.

"Pemain-pemain muda ini berpotensi dalam Liga Super tetapi kami tidak mahu terburu-buru.

"Mereka masih muda dan masih memerlukan pendedahan dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

"Pada masa akan datang, kami berharap mereka dapat bersama kami," tambahnya.

Baru-baru ini, tersebar gambar yang menunjukkan wakil FAS mengunjungi kediaman penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, di Kota Bharu, Kelantan.