Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius dakwaan bekas Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton, yang mengaitkan Malaysia kini telah mengambil alih tempat Singapura sebagai hab mengatur perlawanan di Asia Tenggara.

Menyentuh perkara tersebut, badan induk itu sentiasa mempunyai persefahaman dengan FIFA dan juga Kondeferasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam bersama-sama menangani masalah ini.

FAM turut menjelaskan mereka sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan telah menyalurkan maklumat yang boleh dipercayai untuk tujuan siasatan mereka.

FAM melalui pegawai integritinya bersama-sama dengan barisan jawatankuasa integriti di setiap persatuan negeri sentiasa mengambil serius segala maklumat yang diterima, sama ada dari sumber tertentu atau dari FIFA mahupun AFC.

Dalam pada itu, FAM sudah mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi tujuan memantau perjalanan Liga Malaysia (Liga M) serta membuat dasar-dasar tertentu bagi memperkukuhkan integriti bola sepak di negara ini.

Selain itu, persatuan turut cuba membenteras gejala mengatur perlawanan ini menerusi kaedah 'Sistem Amaran Awal GmbH' (EWS) FIFA.

Dalam isu dakwaan terbaru yang ditimbulkan Eaton itu, FAM berpandangan adalah lebih profesional bagi beliau untuk mengemukakan bukti dan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan lanjut dapat dilakukan dalam usaha membanteras kegiatan ini demi kebaikan bola sepak negara.

Berdasarkan rekod pada tahun 2012, Eaton turut pernah mengeluarkan kenyataan kononnya ada pegawai tinggi dari FAM yang terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan.

Susulan itu, satu perjumpaan telah diadakan pada 5 Mac 2012 di antara beliau dan Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Seri Azzuddin Ahmad.

Ketika itu juga, beliau telah diminta untuk mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya itu tetapi gagal berbuat demikian.

Justeru, berhubung dakwaan terbarunya kali ini, FAM setakat ini tidak menerima apa-apa maklumat berhubung perkara berkenaan, sama ada dari FIFA, AFC mahupun sumber-sumber tempatan.