Ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim, harus bertanggungjawab ke atas prestasi tidak menentu The Red Warriors (TRW) sehingga menyebabkan pasukan itu berada dalam kelompok penyingkiran Liga Super.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan (PBPBK), Anuar Rajib, berkata jurulatih kelahiran Syria itu harus memikul tanggungjawab selepas menggugurkan beberapa pemain senior dan import ketika mula-mula mengambil alih pasukan itu Mac lalu.

"Fajer tidak boleh lari daripada kenyataan kerana tindakan pemutihan pasukan (yang dilakukan beliau) dengan mengetepikan 20 pemain pada pertengahan musim ini menjerat dirinya sendiri sebagai jurulatih antarabangsa," katanya dihubungi hari ini.

Fajer sebelum ini menggugurkan beberapa nama besar TRW, iaitu ketua pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi, Noor Farhan Muhammad, Khairul Fatmi Che Mat dan dan Bruno Lopez.

Kelantan, bekas juara 'treble' pada 2012, kini menggunakan sepenuhnya khidmat pemain muda serta dua pemain import.

Selepas enam perlawanan di bawah kendalian jurulatih itu, Kelantan hanya mencatat satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

Anuar berkata Fajer perlu mencari jalan untuk memenangi perlawanan akan datang bagi mengelak terhakisnya kepercayaan yang diberikan oleh penyokong dan penaja.

“Beliau telah melakukan rombakan besar-besaran dan ketika ada masalah seperti ini, beliau tidak boleh lari daripada masalah yang dia sendiri cipta.

“Fajer perlu bertanggungjawab sehingga ke akhir musim atas apa yang berlaku terhadap Kelantan ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA