Enam pasukan melakukan pertukaran pemain import pada hari terakhir pendaftaran pemain semalam, termasuk dua pasukan Liga Super, Pahang dan Kelantan.

Pahang mengambil bekas penyerang Selangor, Francis Forkey Doe, untuk menggantikan Sergio Ezequiel Unrien.

Namun, perpindahan paling sensasi ialah kembalinya Mohamad Ghaddar ke Kelantan ekoran kecederaan serius yang dialami pemain tengah, Morgaro Gomis.

Beberapa pasukan Liga Perdana seperti MISC-MIFA dan PDRM turut membuat pertukaran pemain pada saat-saat akhir.

"Penamatan kontrak melalui persetujuan dua hala sebelum ini tidak perlu melalui FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia).

"Tetapi terdapat ramai pemain yang mengalami masalah dalam isu ini, kami menjadikan penamatan kontrak ini sebagai dokumen yang diperlukan oleh kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Selain itu, Kevin turut menepis khabar angin yang tersebar di media sosial kononnya pemain import Pahang, Mohamadou Sumareh, akan didaftarkan selaku pemain tempatan.

Buat masa ini, Sumareh masih kekal selaku pemain import dan tiada sebarang makluman daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bahawa pemain itu telah mendapat kerakyatan Malaysia.

"Sumareh didaftar sebagai pemain import dan bukan pemain tempatan. Saya telah mendengar khabar angin sebelum ini tetapi dia adalah pemain import Pahang," tegasnya.