Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, berharap proses perpindahan pemain importnya, Lucas Espindola, dapat diselesaikan minggu ini bagi membolehkannya diturunkan menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tewas dua perlawanan berturut-turut jelas bukan permulaan sempurna buat Sang Semut Merah di pentas Liga Super musim ini.

Namun, hakikatnya mereka sedikit tempang susulan beraksi tanpa Espindola yang masih dalam proses melengkapkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Elavarasan mengakui sekalipun kelibat pemain itu mampu menampung kekuatan pasukan, namun ia bukan alasan utama anak buahnya tewas dua perlawanan sebelum ini.

"Saya berharap dalam tempoh dua tiga hari ini, perpindahannya boleh selesai. Saya juga menurunkan dia dalam sesi latihan supaya dia dapat mencapai keserasian dengan pemain lain," jelas pengendali berusia 52 tahun itu.

Jika Espindola dapat diturunkan minggu ini, sudah pasti PKNS mahu menjadikan pertemuan menentang Selangor sebagai kemenangan pertama musim ini.

Elavarasan menambah: "Dari dulu sampai sekarang setiap kali berdepan Selangor, kami sentiasa memberikan yang terbaik. Saya juga yakin Selangor akan memberikan segala-galanya.

"Jadi, saya berharap pemain saya akan berusaha untuk mendapat keputusan yang positif."