Biarpun sekadar meraih satu mata bertemu PKNS FC di laman sendiri malam tadi, ketua jurulatih Melaka, E. Elavarasan, masih berpuas hati di sebalik kegagalan mengambil kesempatan dalam lima minit terakhir waktu permainan untuk meraih kemenangan apabila lawan kehilangan seorang pemain ekoran mendapat kad merah.

Melaka mampu menyerap tekanan yang diberikan PKNS walaupun penguasaan bahagian tengah menjadi milik pelawat dalam sebahagian besar perlawanan.

Ketika kedudukan terikat 1-1, mereka sepatutnya mampu meraih tiga mata penuh selepas Daniel Ting dilayangkan kad merah pada minit ke-85 apabila mendapat deretan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan, namun barisan pemainnya dilihat kurang kreativiti.

"Selalunya apabila pasukan kurang seorang pemain, pemain-pemain lain lebih fokus. Sebab kamu tahu pemain kurang seorang dan pada masa itu, kita perlu kreatif," kata Elavarasan.

Sementara itu, Elavarasan mengesahkan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan bekas tonggak Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim, menjadi pemain sulung yang dibawanya dalam jendela perpindahan kedua ini.

"Dia baru sampai. Sudah tentu dia seorang pemain yang baik bagi kami. Dalam seminggu dua, ini kami rasa dia boleh mula bermain," katanya lagi.