Ketua jurulatih Melaka United, E. Elavarasan, berpendapat pasukannya bernasib baik pulang dengan satu mata apabila mengikat The Red Warriors (TRW) 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Baginya, pemain muda TRW menunjukkan aksi terbaik sehingga menyukarkan barisan pemainnya mengulangi aksi cemerlang ketika menewaskan Kedah 4-1 di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini.

"Satu mata yang kami terima ini amat penting dan ia dihasilkan melalui sepakan penalti pada minit-minit akhir permainan.

"Kami bernasib baik kerana dapat menyamakan kedudukan dan tuan rumah beraksi cukup baik untuk mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga tamat permainan. Kalau terjadi kepada pasukan saya, juga akan kecewa," katanya.

Elavarasan juga mengakui benteng Kelantan cukup berdisiplin sehingga menyukarkan jentera serangan Melaka menembusi pertahanan tuan rumah.

"Saya setuju corak taktikal bertahan Kelantan menyebabkan kami susah hendak memecah kebuntuan. Kami cuba masuk melalui bahagian tengah tetapi terlalu padat sehinggalah minit akhir permainan, barulah beberapa hantaran lintang berjaya dilakukan sehingga barisan pertahanan mereka panik untuk selamatkan keadaan.

"Saya nampak pemain Kelantan cukup bersemangat selepas menewaskan Selangor dan dalam perlawanan ini mereka terlepas beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan," tambahnya.

Kejayaan mengikat TRW itu membolehkan Melaka berada di tangga ketujuh liga dengan 24 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan tiga seri.