Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, belum mahu menekan butang cemas biarpun jentera serangan pasukannya mengalami kemarau jaringan dalam dua perlawanan pra-musim setakat ini.

Sebaliknya, jurulatih kelahiran Australia itu melihat sinar daripada kejayaan Perak mencipta peluang ketika menentang PDRM dan Kedah.

"Tidak mengapa jika mereka gagal menjaringkan sebarang gol.

"Sekurang-kurangnya mereka mencipta peluang.

"Saya yakin mereka akan bertambah baik selepas beberapa perlawanan lagi," katanya.

Durakovic juga tidak gusar kerana dia masih belum menurunkan kesebelasan utama yang dilanda kecederaan.

Pemain seperti Brendan Gan, Wunder Luiz Biten Court dan Nazirul Naim Che Hashim tidak diturunkan kerana masih belum pulih sepenuhnya.

Kapten Pasukan, Shahrul Saad, serta muka baru, Zac Anderson dan Shahrel Fikri Md Fauzi juga tidak beraksi sepenuh masa.

Ia kerana Durakovic mahu memberikan peluang kepada semua pemain beraksi.

"Saya mahu memberikan peluang kepada semua pemain beraksi agar dapat menilai kemampuan mereka," ujarnya.

Bagi Durakovic, dia mahu mengetengahkan pemain muda seperti Khairil Anuar Zamri (Beto) dan Firdaus Saiyadi.

Justeru, dia berharap untuk mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan dalam usaha mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi pertarungan pembukaan musim bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perebutan Piala Sumbangsih di Larkin pada 2 Februari depan.