Penyerang, Ahmad Hazwan Bakri, membuktikan dua jaringannya ketika berdepan Pahang sebagai petunjuk bahawa dia bukan sekadar mencukupkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain Paling Bernilai 2016 itu membuktikan kehadirannya sudah cukup berbaloi buat JDT melalui dua jaringannya dalam separuh masa pertama.

Tidak mahu dilabelkan sebagai wira, dia berasakan kejayaan itu adalah hasil kerjasama berpasukan untuk memastikan JDT kekal bersaing dalam kejuaraan Liga Super.

Dalam aksi malam tadi, dua gol Hazwan itu membantu JDT mengatasi saingan sengit Pahang dengan kemenangan 3-2.

“Selepas gagal menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini, saya kembali menemui sentuhan serta membantu pasukan meraih tiga mata penuh,” katanya.

Di kem Pahang, jurulatihnya, Dollah Salleh, meluahkan perasaan kurang gembira dengan keputusan pengadil, Zulkifli Ahmad, yang memberikan sepakan penalti kepada JDT ekoran bola terkena tangan Afif Amiruddin.

Baginya, situasi itu merubah suasana permainan serta menjejaskan moral pemain-pemainnya selepas mendahului di awal perlawanan.

“Ia merupakan suatu perbuatan yang tidak disengajakan, pasukan tuan rumah meraih sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan saya. Saya tidak berpuas hati kerana ia telah menjejaskan keputusan perlawanan ini.”