Do Dong-hyun mencetus sensasi dengan jaringan hatrik untuk menghadiahkan kemenangan pertama kepada Kelantan selepas menewaskan Perak 3-2 dalam perlawanan keempat Liga Super di Kota Bharu, malam ini.

Ketika peminat tuan rumah menanti kesan segera daripada penampilan kali keempat Mohammed Ghaddar, pemain Korea Selatan itu dua kali bangkit menyamakan kedudukan sebelum menghasilkan gol kemenangan skuad The Red Warriors.

Pada awal perlawanan, rembatan daripada Mohammad Nor Hakim Hassan selepas menerima lorongan Gilmar Jose da Silva Filho gagal menemui jaring apabila dihalang kemas Mohd Farisham Ismail.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Nor Hakim kembali mendapat peluang dan melambungkan bola yang menuju ke penjuru gawang untuk membuka jaringan pada minit ke-20.

Seminit selepas itu, Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya menerima lorongan daripada belakang tetapi penjaga garisan mendapati dia berada di kedudukan ofsaid.

Ghaddar kemudian hanya perlu berdepan penjaga gol lawan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam, namun dia terlepas peluang itu apabila Hafizul berjaya membuat satu kuisan penting.

Pada minit ke-42, Brendan Gan membuat satu hantaran kemas kepada Wander Luiz, tetapi dipintas penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada awal separuh masa kedua pula, S. Venod melakukan lambungan untuk ditanduk Bruno Lopes, bagaimanapun, Hafizul tangkas menyelamatkan percubaan itu.

Selepas itu, penantian gol Kelantan akhirnya berhasil menerusi tandukan Dong-hyun daripada hantaran Piya pada minit ke-68.

Tetapi kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila Luiz tampil menggegar gawang seminit kemudian untuk meletakkan Perak kembali di depan.

Suasana stadium yang dihadiri kira-kira 5,000 penonton kembali gamat setelah Kelantan mengimbangi kedudukan buat kali kedua.

Dong-hyun nyata menjadi wira, melepaskan rembatan daripada bola tandukan Piya yang melambung tinggi pada minit ke-78.

Perak tidak mempunyai jawapan apabila dia sekali lagi tampil meledak kencang dari sebelah tepi untuk memberikan kemenangan pertama buat Kelantan dan jurulatih sementara, Yusri Che Lah.

Luiz seakan-akan sudah menamatkan perlawanan dengan kedudukan 3-3 ketika masa tambahan seminit sudah berakhir tetapi pemain itu terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan ofsaid, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati daripada kem Perak.

Keputusan lain

Liga Super:

JDT 3 Melaka United 0
Selangor 1 Pahang 3

Liga Perdana:

PDRM FA 1 Pulau Pinang 0
Sabah FA 1 Sarawak 1