Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mahu anak buahnya memberi kesedaran kepada pemain tengah Melaka, Liridon Krasniqi, bahawa dia terlepas peluang untuk bersama dengan pasukan yang lebih baik.

Liridon sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Pahang tetapi akhirnya memilih Melaka sebagai destinasi dan apa yang dilakukan bekas tonggak Kedah itu masih terkesan di hati Dollah.

Justeru, pertemuan dengan Melaka yang akan menampilkan kelibat Kiridon perlu berakhir dengan kelebihan yang memihak Pahang.

Dollah menegaskan Liridon perlu diajar untuk lebih menepati janji selepas ini.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana perkara itu boleh berlaku. Liridon memang pemain yang baik tetapi malam ini kami mahu memberitahunya bahawa kami lebih baik," kata Dollah.

Kegagalan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengutip mata penuh di Kuala Terengganu susulan keputusan seri 2-2 malam tadi telah membuka ruang buat Pahang untuk terus memimpin Liga Super dengan lebih selesa.

Di atas kertas, Pahang memiliki kelebihan, namun tempoh 90 minit di Stadium Hang Jebat malam ini perlu dilunaskan dengan sebaik-baiknya terlebih dahulu

"Saya tidak hirau keputusan lain. Apa jua berlaku, kami perlu fikirkan keputusan malam ini. Saya tidak mahu katakan kelebihan berpihakkepada kami malam ini kerana perlawanan berlangsung di tempat lawan. Kami harus ingat, Melaka bukan calang-calang pasukan."