Pengendali Pahang, Dollah Salleh, tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa tatkala pasukan bimbingannya dinafikan kemenangan dalam 10 minit terakhir sewaktu berdepan Melaka di Stadium Hang Jebat, semalam.

Pahang diikat 1-1 akibat jaringan penalti pada minit-minit akhir oleh Safiq Rahim walaupun Herold Goulon terlebih dahulu meletakkan skuad Tok Gajah mendahului dalam babak pertama.

Selain itu, keputusan pengadil perlawanan, Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim, memerintah Nor Azam Azih keluar padang ternyata memberi kesan besar buat Pahang dan Dollah jelas tidak mampu menahan rasa geram ketika ditemui selepas perlawanan.

"Saya hanya mahu bercakap tentang prestasi. Kami bermain baik, cuma melepaskan beberapa peluang. Minit terakhir menyaksikan satu kesilapan telah membuatkan kami kecewa akibat jaringan daripada sepakan penalti tersebut," kata Dollah.

Bagi ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, dia menganggap keputusan pengadil memberikan penalti kepada Melaka adalah tepat merujuk kepada apa yang dilihat sendiri dari bangku pemain simpanan.

"Ia memang keputusan pengadil dan bagi saya, ia tepat. Dari bangku simpanan, memang kami nampak ada satu kekasaran dilakukan terhadap penyerang Melaka, Casagrande," ujar Zainal.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengakui Dollah boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah susulan insiden video tular selama 13 saat yang memaparkan pengendali Pahang itu mencarut.

"Kami daripada bahagian undang-undang akan meneliti insiden tersebut. Kadangkala, kamera berada di tempat yang tidak sepatutnya dan kami tahu dalam bola sepak, banyak perkara diperkatakan di sekeliling padang. Mungkin komen itu tidak ditujukan kepada pegawai perlawanan, sebaliknya sesama sendiri," ujar Stuart.