Pahang tampak terlalu rapuh dalam aksi Liga Super semalam disebabkan masalah kecederaan pemain utamanya dan lebih menyulitkan, Matthew Davies tercedera ketika sesi pemanas badan beberapa minit sebelum sepak mula.

Ibarat terkena sumpahan, itulah situasi yang dialami Pahang ketika ini.

Bermula dengan ketiadaan Francis Forkey Doe, ia kini menghantui Safuwan Baharudin, Patrick Cruz, kecederaan lama Norshahrul Idlan Talaha dan terbaru, Davies yang mendapat kecederaan beberapa minit sebelum aksi dengan Kuala Lumpur bermula di Stadium Cheras.

Aksi 90 minit semalam adalah tempoh waktu paling buntu buat jurulatih, Dollah Salleh, ekoran beberapa perubahan pemain pada saat-saat akhir.

Dan lebih menyukarkan, semuanya melibatkan pemain utama Pahang ketika ini.

"Keseluruhannya, walaupun keciciran mata, saya berasa bangga jugalah kerana kami bermain dalam keadaan tertekan.

"Beberapa minit sebelum perlawanan, Matthew Davies ditimpa kecederaan, tanpa Francis Forkey Doe dan situasi Norshahrul Idlan Talaha pula dalam keadaan 50-50, saya agak berpuas hati," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, kecewa anak buahnya gagal menggunakan kesempatan di atas kesukaran yang dialami Pahang.

Melabelkan aksi 90 minit itu sebagai 'tragis', Maciel menggambarkan anak buahnya seolah-olah sekadar melihat dua mata penting dicuri pasukan pelawat.

"Ini perlawanan aneh. Biarpun kami memimpin permainan pada separuh masa pertama, namun saya tetap tidak berpuas hati.

"Permainan terlalu pantas. Banyak ruang diberikan Pahang untuk kami melancarkan serangan balas.

"Banyak kesilapan dilakukan Pahang, bahkan daripada pihak kami," kata Maciel.