Ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan, kagum dengan keseluruhan persembahan anak buahnya dalam kemunculan sulung mereka dalam kempen Liga Super musim ini yang berakhir malam tadi.

"Saya berasakan pasukan kami beraksi dengan baik berbanding pasukan berpengalaman lain seperti PKNS FC dan Felda United.

"Jika anda lihat senarai kedudukan, saya amat bangga dengan pemain saya sebab kami berada di tempat keempat dari segi jaringan gol, kami mengekori di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang dan Kedah," kata Devan selepas pasukannya mencatat kemenangan 1-0 ke atas PKNP FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya, semalam.

Penyerang Brazil, Washington Brandao, muncul wira bagi pasukan tuan rumah apabila sepakan penaltinya pada minit ke-75 mengerah PKNP FC turun ke Liga Perdana musim depan.

PKNP menamatkan kempen di tempat ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Super dengan 16 mata, manakala PJ City FC kekal dalam Liga Super selepas berkesudahan di tangga kelapan dengan 26 mata.

Devan turut memuji anak buahnya yang merupakan gandingan pemain muda dengan yang berpengalaman apabila mereka berjaya melakukan kejutan untuk menundukkan kelab lebih terkemuka seperti JDT musim ini.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih PKNP FC, Chan Wing Hoong mengakui pemainnya tidak memberi persembahan terbaik di samping mereka kekurangan mentaliti juara.

"Tambahan pula, semangat pasukan penyerang kami untuk memburu gol tidak ada. Ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, juga beritahu saya beliau berasa kecewa dengan keputusan itu dan saya mesti mengakui kami belum cukup bagus untuk bersaing dalam Liga Super.

"Sekarang terserahlah kepada pengurusan tertinggi PKNP FC untuk membuat keputusan, sama ada untuk membenarkan pemain bermain dalam Liga Perdana atau membubarkannya,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

-- BERNAMA