Biarpun sekadar mencatat seri dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super malam tadi, David Usop, mempunyai sebab untuk masih tersenyum.

Baginya, biarpun Selangor berjaya mengikat kedudukan dan menafikan tiga mata milik pasukannya, ada "kemenangan tersembunyi" yang diraih.

Kemenangan itu adalah daripada sudut kematangan barisan pemain tempatannya, termasuk pemain muda yang diasuh daripada pasukan Piala Presiden dan dibawa naik ke pasukan utama Liga Super.

"Saya mengabaikan pemain import dan memasukkan enam pemain muda anak tempatan.

"Ia kali kedua selepas aksi bertemu Kelantan dan dalam kedua-dua perlawanan ini, kami mencatatkan seri," ujarnya.

Sekurang-kurangnya, kata David, di sebalik kempunan kemenangan di Stadium Negeri, beliau masih boleh tersenyum.

Dalam aksi menentang The Red Giants itu, Sarawak mencatat seri 1-1.

Enam pemain anak tempatan yang dimaksudkan ialah Tommy Mawat Bada, Mohd Dzuazlan Ibrahim, Mohd Hairol Mokhtar, Shreen Tambi, Awang Kamaruddin Awang Borhan dan Abdul Rahim Abdul Razak.

Di bangku simpanan, beliau memiliki Nur Shamie Iszuan Amin dan Mohammad Hafiz Abu Bakar yang juga memiliki kebolehan dan kepantasan yang sama.

Dalam aksi malam tadi, beliau hanya memasukkan Mark Andrew Hartmann pada minit-minit akhir permainan manakala Lee Jong-ho langsung tidak tersenarai.

Tindakan berani David dikatakan berpunca daripada peningkatan mendadak pemain-pemain tempatan Sarawak ini selain atas faktor strategi.

Katanya, beliau berpuas hati kerana anak-anak buahnya berjaya mencipta gol biarpun kurang mencipta peluang.

"Ia lebih baik berbanding perlawanan lalu apabila kami gagal menggegarkan jaring biarpun memiliki rantaian peluang."

Mengulas jaringan Mohd Rizal Fahmi, yang menafikan kemenangan Sarawak dan menjadi punca kebangkitan Selangor, David menyifatkannya sebagai kelalaian.

"Gagal mencabar dan hanya melihat pergerakan lawan menyebabkan Rizal dapat menghidu peluang gol," katanya.

Bagaimanapun, katanya, keputusan seri tersebut adalah adil kerana kedua-dua pasukan bermain dengan baik dan mampu mencipta peluang.

"Kami mengetahui disiplin berkubu Selangor adalah amat baik dan kerana itu, mereka berjaya menghalang kami membina peluang.

"Namun, saya juga berterima kasih kepada barisan pertahanan yang bekerja keras untuk mengelakkan berlakunya kekalahan."

Kata David, menjelang aksi bertemu Perak pada 24 Julai depan, beliau akan cuba mengatasi kelemahan yang ada.

"Kami akan berusaha memperbaiki kombinasi, terutama daripada aspek serangan, agar mereka lebih serasi dalam mendapatkan gol."

Sarawak masih berkedudukan di tangga ke-11 dengan 10 mata, satu mata di belakang Melaka United dan PKNS FC.