David Usop memiliki alasan kuat untuk bermuram duka malam tadi.

Semuanya gara-gara kegagalan anak buahnya memanfaatkan deretan peluang, yang akhirnya memaksa Sarawak mengucapkan selamat tinggal kepada Piala FA.

Berbekalkan kelebihan seri satu jaringan di Kuala Terengganu, Stadium Negeri Petra Jaya sekali lagi menjadi gelanggang ngeri, kali ini menafikan peluang skuad Bujang Senang itu ke separuh akhir menerusi kemenangan 4-1 lawan dalam penentuan sepakan penalti.

Terdahulu, dalam 90 minit permainan, Sarawak dan Terengganu terikat 1-1 hasil jaringan Issey Nakajima pada minit kesembilan dan Demerson Bruno Costa pada minit ke-79.

Bagi David, kekalahan malam tadi sekali lagi disumbangkan oleh kegagalan barisan pemainnya menterjemahkan peluang yang terhidang kepada jaringan.

"Mereka bermain baik dan bermati-matian tetapi kegagalan membuat sentuhan penyudah menjadi punca Sarawak kecundang," katanya.

David, malah, tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap prestasi hambar penyerang kelahiran Filipina, Mark Hartmann.

"Sejak separuh masa pertama lagi, dia tidak mengikuti arahan.

"Malah, dia ingkar dengan strategi pasukan dan bermain mengikut kata hati dirinya.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi kepadanya tetapi dalam situasi genting seperti ini, tidak ada ruang untuk pemain seperti itu."

Keadaan ini menyebabkan David terpaksa menggantikan Hartmann pada minit ke-78 dengan Mohd Hafiz Abu Bakar.

"Ternyata permainan bertukar menjadi lebih pantas selepas itu."

Hasil perubahan itu juga, kata David, Sarawak berjaya mencipta gol penyamaan.

Beliau tidak menafikan akan melakukan rombakan drastik jika keadaan ini berterusan.

Mengulas prestasi penjaring gol penyamaan Sarawak, Bruno Costa, David berkata pemain Brazil itu menunjukkan keserasian berada di bahagian tengah.

"Saya akan memikirkan selepas ini, sama ada sesuai untuk mengekalkan dia di posisi tersebut," katanya lagi yang turut memasukkan pemain import dari Korea Selatan, Lee Jong-ho di bahagian pertahanan pada minit akhir permainan setelah kehilangan Hairol Mokhtar yang mengalami kecederaan.

Aksi seterusnya adalah pada 26 April apabila Sarawak melayan Kelantan di Stadium Negeri untuk aksi Liga Super.