Pertahanan UiTM FC, Danish Haziq Saipul Hisham, menggalas tugas berat selaku tonggak utama pasukannya, yang merupakan pasukan universiti pertama beraksi dalam liga divisyen utama negara musim ini.

Sebelum ini, dia menggalas tugas sama ketika membantu Negeri Sembilan dalam Liga Perdana musim lalu sambil dibantu pemain berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah.

Namun, dia mengakui cabaran berbeza menantinya untuk menyesuaikan diri dengan deretan pemain muda -- yang rata-ratanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) itu -- musim ini.

"Di sini, rata-rata pemain muda tetapi tidak telalu jauh (usia) dengan pemain senior.

"Yang bagusnya, dengan pasukan muda seperti ini, persefahaman itu lebih senang (dipupuk).

"Kalau ada senior bagus juga tetapi perlu mencari yang betu-betul boleh membantu pasukan," katanya.

Dengan semangat yang dimiliki pasukan muda itu, Danish Haziq yakin mereka mampu bersaing dengan pasukan lain.

"Pada awalnya agak sukar untuk memenuhi apa yang dimahukan jurulatih.

"Mungkin tahap kecergasan kami pada ketika itu masih belum bagus.

"Sekarang, kebanyakan pemain sudah mencapai tahap kecergasan yang dimahukan jurulatih.

"Dengan itu, lebih mudah untuk kami menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa