Bintang muda Kelantan, Danial Ashraf Adullah, mengakui berpuas hati sumbangannya dapat membantu The Red Warriors mengakhiri rentetan kekalahan di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV musim ini.

Danial bertindak sebagai pemain gantian ketika Kelantan menewaskan T-Team 4-2, malam tadi.

Dimasukkan dalam separuh masa kedua, pemain bawah 22 tahun negara ini berjaya memberikan impak yang berbeza kepada skuad bimbingan Zahasmi Ismail.

Gerakan yang dilakukannya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan untuk membantu Kelantan memperoleh tiga gol.

"Saya telah cuba yang terbaik untuk merencanakan setiap arahan yang telah diberikan oleh jurulatih, saya berharap dapat membantu pasukan dalam perlawanan akan datang," katanya.

Kelibat Danial juga mendapat perhatian pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, yang mengakui kehadiran pemain berusia 20 tahun itu menjadi punca utama kekalahan The Titans di Kota Bharu.

"Kelantan mempamerkan taktikal yang berbeza selepas mereka memasukkan Danial, dia merupakan seorang pemain yang lincah dan berjaya menggugat pertahanan kami," jelas Rahmad.