Helang Merah memberikan isyarat bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, apabila mudah menumpaskan Terengganu 3-0 dalam saingan Liga Super, di Stadium Sultan Mizan, malam tadi.

“Kami hadir ke sini untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata tetapi pemain memberi tindak balas positif dengan mempersembahkan aksi terbaik. Tiga mata penuh dapat dibawa balik dan kami muncul pasukan ketiga terbaik Liga Super musim ini," kata jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.

“Tahniah kepada semua pemain yang beraksi dengan semangat juang yang tinggi dan saya yakin kami sudah bersedia untuk melayani kunjungan PDRM di Stadium Darulaman, Jumaat ini,” tambahnya.

Cheng Hoe juga menyifatkan keputusannya menurunkan beberapa pemain muda sebagai berbaloi dan mereka menunjukkan persefahaman yang mantap untuk meneruskan momentum kemenangan skuad Helang Merah.

“Sebelum turun ke sini lagi, kami membuat keputusan untuk memberikan peluang kepada pemain muda untuk beraksi bersama pemain senior, dengan merehatkan beberapa pemain utama pasukan.

“Mereka (pemain muda) membalas kepercayaan saya dengan beraksi cukup baik dan membentuk persefahaman yang mantap bersama tonggak utama skuad Kedah,” katanya.

Dalam saingan menarik malam tadi, Kedah membuka tirai jaringan melalui penyerang import, Thiago Augusto Fernandees, pada minit ke-13, sebelum Smelltz Shane Edward, menggandakan kedudukan pada minit ke-63.

Augusto sekali lagi menunjukkan kehebatannya, apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-80, sekali gus menghadiahkan kemenangan mutlak kepada skuad Helang Merah.

Kejayaan Kedah menumpaskan Terengganu malam tadi memastikan tempat ketiga Liga Super menjadi milik mereka biarpun berbaki satu lagi perlawanan kerana pencabar terdekat, Selangor, tewas kepada Perak 1-0 di Shah Alam.