Kapten Pulau Pinang, Muhd Rafiuddin Roddin, menganggap rezeki tidak berpihak kepada pasukannya apabila kegagalan meraih tiga mata berterusan dalam perlawanan kedua Liga Super berdepan Perak di Stadium Bandaraya, Jumaat lalu.

Lebih mengecewakan, Pulau Pinang masih lagi belum menghasilkan sebarang gol selepas tewas 0-2 kepada Selangor dan tumpas 0-1 di tangan Perak.

Rafiuddin berkata skuadnya telah memberikan sepenuh tenaga di laman sendiri, malah beraksi lebih baik berbanding perlawanan minggu lalu.

Katanya, serangan yang masih tumpul menggagalkan peluang untuk skuad tuan rumah itu menghasilkan gol, sekali gus memberi peluang kepada Perak memenangi perlawanan menerusi jaringan tunggal Shahrul Mohd Saad.

"Kami beraksi bukan di tahap sebenar. Walaupun kami ada memiliki peluang, kami gagal menyempurnakannya dengan baik. Kami tidak bernasib baik dan boleh dikatakan ia bukan rezeki kami."

Cukup dengan dua kekalahan berturut-turut, Rafiuddin berharap strategi baru daripada jurulatihnya, Ashley Westwood, akan berhasil dalam pemburuan tiga mata berdepan T-Team, Sabtu ini.

"Mungkin kami perlu memperbaiki kelemahan di bahagian serangan memandangkan penyerang import kami mengalami kecederaan. Mungkin selepas ini, permainan kami akan bertambah baik," tambahnya.