Penyerang berbisa Melaka United, Ilija Spasojevic, tidak kisah jika dia tidak menjadi pilihan jurulatih, Eric Williams, untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan skuad Hang Tuah musim ini.

Baginya, siapa sahaja kapten tidak menjadi isu besar walaupun dalam perlawanan pra-musim sebelum ini, dia sering menjadi jeneral padang skuad terbabit, termasuk ketika berdepan pasukan Liga Super, Felda United, di Stadium Hang Tuah.

"Siapa pun yang menjadi ketua pasukan, saya tidak kisah dan itu bukanlah satu isu yang besar,"

"Apa yang penting adalah usaha kami untuk menjadikan Melaka United antara pasukan yang terbaik,” katanya.

Selain namanya, beberapa pemain lain yang tersenarai mengetuai skuad berkenaan termasuk kapten skuad kebangsaan, Amri Yahyah, yang dikatakan menjadi pilihan untuk mengetuai skuad Melaka United musim ini.

Tambah Spasojevic, dia bagaimanapun bersedia menggalas peranan tersebut, namun terserah kepada jurulatih untuk memilih siapa yang diberi peranan terbabit.

Dia juga mengharapkan perencanaan Williams mampu diterjemahkannya dengan baik bersama rakan lain dalam usaha mengintai kutipan mata penuh.