Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, kecewa dengan aksi barisan pertahanannya dan menyifatkan mereka berada pada taraf budak sekolah hingga menjadi punca kekalahan 2-0 di tangan Melaka United, semalam.

PKNP ketinggalan pada minit ke-14 apabila penyerang import dari Belarus, Yahor Zubovich, mengambil kesempatan di atas kelekaan benteng pelawat untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah di Stadium Hang Jebat.

Abu Bakar berpandangan Zubovich yang dikawal dua pertahanan, termasuk import, Luben Nikolov, tidak seharusnya dibenarkan merobek gawang mereka dengan mudah.

"Kami menguasai 20 minit awal permainan.

"Saya sudah berpesan kepada pemain tetapi kami dikejutkan dengan gol mudah daripada pemain import (Ritus Krjauklis) yang diharapkan mengukuhkan benteng pertahanan.

"Tetapi, kesilapan yang dilakukan itu macam budak sekolah," kata Abu Bakar.

Ketika aksi berbaki empat minit, Zubovich sekali lagi menjadi watak pemusnah selepas rembatan kencang kaki kirinya melepasi jangkauan Bryan See untuk memastikan kemenangan 2-0 menjadi milik Melaka.

"Kami cuba untuk bangkit tetapi satu lagi kesilapan berlaku.

"Apabila berdepan situasi satu lawan satu, pemain saya tergelincir yang memberi peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol jarak jauh.

"Selepas menjaringkan dua gol dalam Piala FA (menentang Shahzan Muda), sentuhannya 'sejuk' terus.

"Itu yang kami cuba tingkatkan untuk aksi akan datang," ujar jurulatih kelab yang berpangkalan di Perak itu lagi.

Kekalahan ini meletakkan PKNP di tangga ke-10 dengan enam mata selepas lima perlawanan.