Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memulakan langkah perubahan di bawah kepimpinan baru dengan mengadakan bengkel bersama penyokong selama tiga hari sebagai bukti keterbukaan persatuan itu.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, berkata bengkel itu merupakan inisiatif presiden, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu menjadikan persatuan itu lebih terbuka.

Ia juga selepas mereka menyedari suara penyokong Gergasi Merah yang tidak didengari oleh pimpinan terdahulu, sekali gus menuntut perubahan besar sebelum kedua-dua pihak mencari jalan bersama untuk membangunkan skuad Selangor.

"Sebelum ini, semua perkara di FAS dikawal oleh exco dan ahli jawatankuasa sahaja. Penglibatan awam seperti peminat sering diketepikan.

"Ini inisiatif dan titik permulaan untuk menjadikan FAS milik rakyat Selangor.

"Mereka akan mempunyai kepentingan dan menjadi ahli gabungan dalam pembangunan FAS," kata Dr. Johan.

Bengkel itu juga membuktikan FAS serius dalam misi mengangkat kembali nama Selangor sekalipun baru tiga bulan Tengku Amir menjadi presiden.

Menerangkan perkara terperinci mengenai perancangan dan pelaksanaan setiap program kepada penyokong, bengkel itu juga mewujudkan lima komponen utama di setiap unit pengurusan pasukan utama, pembangunan akar umbi dan pengurusan hasil.

Majlis penutup bengkel itu akan disempurnakan Tengku Amir hari ini.