Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, mahu kelebihan di atas kertas bukan sekadar kredibiliti yang dibawa dari Alor Setar, sebaliknya ia perlu diterjemahkan di Stadium Petaling Jaya, hari ini.

Kedah turun dengan reputasi selaku pendahulu Liga Super selain rekod terdahulu yang sememangnya meletakkan Lang Merah dalam kelompok terbaik.

Biarpun dijulang selaku pasukan pilihan, ia tidak membawa makna apa-apa andai sekadar gah pada nama tanpa melihat Petaling Jaya (PJ) City FC sebagai sebuah pasukan yang mampu menafikan kelebihan itu.

"PJ City memiliki kekuatan daripada segi serangan balas dan situasi bola mati.

"Kami akan beraksi sebaik mungkin dan tidak mengambil mudah aksi malam ini selain mengikuti percaturan jurulatih," katanya.

Kedah perlu kekal dengan rekod tanpa kalah, namun Baddrol menjangkakan ia bukan mudah.

Tambah Baddrol, dengan pencapaian PJ City mengikat Selangor selain menang dengan PKNP dalam aksi lalu, kepakaran jurulatih, K. Devan, tampak berbisa.

"Kami akan menentang sebuah pasukan baru yang memiliki kualiti tinggi.

"Kami akan menentang sebuah pasukan yang sedang meningkat naik dan kami mahu mendapatkan mata di sini sebelum menghadapi PKNS FC di Stadium Darulaman selepas ini," katanya.