Azmi sedia rebut posisi utama

By Staff Writer 23 March 2019 4695
Azmi sedia rebut posisi utama
Bekas pertahanan Perlis, Azmi Muslim, perlu bersaing hebat dengan Fitri Omar untuk merebut posisi utama selepas sah bergelar pemain Kuala Lumpur.

Azmi mengikat kontrak dengan Kuala Lumpur kelmarin selepas kariernya terumbang-ambing sejak menyertai Perlis awal musim ini.

Dia yang begitu mendahagakan aksi kompetitif perlu memastikan tempoh sebelum 30 Mac ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk menambat hati pemangku jurulatih, Choong Yee Fatt.

Bagaimanapun, peluangnya masih cerah memandangkan Fitri ketika ini masih dalam proses pemulihan kecederaan kaki.

"Kami perlu bersaing secara sihat.

"Sesiapa sahaja boleh terpilih untuk diturunkan andai mereka memaparkan prestasi terbaik.

"Ia bukanlah masalah buat saya," katanya.

Azmi mahu melupakan seketika isu gajinya dengan Perlis yang masih tertunggak kerana tugas utamanya ketika ini adalah untuk mencipta nama dengan pasukan barunya itu.

"Saya masih mempunyai tunggakan gaji tiga bulan dengan Perlis dan sebulan dengan Melaka.

"Saya sudah melaporkannya kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan dimaklumkan mereka juga telah memanjangkan laporan itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Namun, belum ada sebarang tindakan yang diambil setakat ini," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment