Dua pemain berpengalaman, Azmi Muslim dan Sabre Mat Abu, sedia memperkasakan PKNS FC dan optimis mampu membawa The Red Ants berada dalam kalangan enam terbaik dalam Liga Super musim depan.

Azmi, yang menyarung jersi Selangor selama tiga musim, akhirnya mengambil keputusan untuk bersama PKNS biarpun ada menerima tawaran lain.

Lebih selesa kekal di Lembah Klang, Azmi mengakui PKNS mempunyai pakej untuk memberi cabaran terhadap pasukan-pasukan ternam, selain yakin dengan kredibiliti jurulatihnya, E. Elavarasan.

"Setiap posisi mempunyai kekuatan masing-masing dan dengan kemasukan pemain-pemain baru, saya berasakan kami akan cuba bersaing hebat dalam Liga Super," ujar Azmi.

Sementara itu, Sabre pula berterima kasih kepada Elavarasan kerana sudi mengambil khidmatnya walaupun sudah lama tidak beraksi.

Berehat hampir setahun akibat kecederaan, pertahanan kanan Kedah itu bertekad membalas kepercayaan Elavarasan, malah sama sekali tidak gentar terhadap persaingan dalam pasukan.

"Musim lalu, saya sekadar beraksi sekitar 120 minit. Itu pun diberi peluang beraksi lebih kurang 15 minit dalam setiap perlawanan.

"Bagi saya, persaingan itu bagus. Saya dimaklumkan Elavarasan gemar menggilirkan pemain.

"Dia memberi kepercayaan kepada pemain dalam satu demi satu perlawanan," katanya.