Pahang semakin garang dalam saingan Liga Super apabila PKNS menjadi mangsa terbaru Tok Gajah menerusi kemenangan selesa 3-0 di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Tuan rumah turun dengan nada keyakinan tinggi selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut manakala PKNS mahu bangkit memulihkan reputasi tercalar apabila dikejutkan Sarawak, minggu lalu.

Ternyata, semangat tuan rumah sukar dihalang PKNS apabila membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi Afif Amiruddin yang menanduk masuk bola sepakan sudut Joseph Kalang Tie.

PKNS mensia-siakan peluang yang hadir pada minit kelapan untuk menyamakan kedudukan selepas Wan Muhd Azraie Wan Teh menepis cubaan Lucas Espindola.

Bersambung dalam babak kedua, Pahang dihadiahkan sepakan penalti selepas P. Gunalan melakukan kekasaran terhadap Mohamadou Sumareh pada minit ke-57 yang disempurnakan Matheus Alves.

Tok Gajah melengkapkan catatan sempurna pada minit ke-69 hasil jaringan menarik Ashari Samsudin yang bijak menghidu hantaran Ahmad Syamim Yahya untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Wan Azraie sekali lagi menghampakan PKNS untuk meraih sebarang jaringan pada minit ke-75 apabila menampan cubaan Safee Sali yang singgah di palang sebelum dikeluarkan oleh barisan pertahanan Pahang.

"Penjaga gol Pahang, Azraie, tampil sebagai pemain yang berpengaruh dalam perlawanan ini, dia banyak menyelamatkan gawang gol kami daripada dibolosi.

"Dalam separuh masa kedua, kami dapat mempamerkan permainan yang lebih lancar dan menguasai perlawanan," kata pengendali Pahang, Dollah Salleh.

"Peluang dalam separuh masa pertama gagal disempurnakan oleh pemain-pemain, itu membezakan kami dengan Pahang. Apabila Pahang mendahului perlawanan dengan dua gol, mereka mendominasi perlawanan," jelas E. Elavarasan, jurulatih PKNS FC.