Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, gembira dan mengalu-alukan hasrat beberapa individu yang berminat untuk mengisi jawatan utama dalam persatuan itu selepas dikosongkan, November tahun lalu.

“Alhamdulillah, nampaknya sudah muncul orang berminat menjadi presiden KAFA. Ini harus dialu-alukan. Saya harap akan ada lagi yang tampil. Lebih ramai lebih baik.

“Saya percaya tokoh-tokoh yang menawarkan diri mampu melaksanakan tanggungjawab itu. Selamat maju jaya KAFA,” katanya.

Dalam entri dalam laman Facebooknya, Annuar yang juga penaja utama The Red Warriors (TRW) musim ini mengingatkan mana-mana individu yang berminat menjawat jawatan presiden supaya menjiwai sukan bola sepak dahulu dan bukan sekadar memikirkan mencari publisiti dan meraih keuntungan dalam perniagaan.

Katanya, tanggungjawab memimpin KAFA tidak hanya tertumpu kepada skuad TRW tetapi merangkumi pelbagai perkara penting di bawah urusan persatuan itu.

“Perlu diketahui, tanggungjawab KAFA tidak hanya pada pasukan TRW, tetapi juga pasukan The President Warriors (TPW), The Young Warriors (TPW) ahli gabungan, futsal, bola sepak wanita, kejurulatihan, kepengadilan dan lain-lain lagi.

“Untuk mengendalikan semua itu, KAFA memerlukan bajet tahunan tidak kurang daripada RM12 juta atau kira-kira RM1 juta sebulan,” katanya.

Petang semalam, Pengerusi Kumpulan Secretleaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan Ibrahim, muncul sebagai calon pertama yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden tanpa sebarang syarat sambil mengumumkan memiliki kemampuan kewangan yang kukuh bagi menyelesaikan masalah KAFA.

Untuk rekod, KAFA akan mengadakan kongres kali ke-63 yang dijadualkan 16 September depan dengan tumpuan lebih kepada pelantikan presiden baharu bagi penggal 2017-2021.