Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, dalam status terbaharu Facebooknya menyindir prestasi semasa pemain The Red Warriors (TRW) yang gagal mempamerkan aksi terbaik dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia biarpun pembayaran gaji tepat pada masanya.

“Hari ini duit gaji TRW sebanyak RM816,000 sebulan untuk bulan Julai sudah diserah kepada bendahari. Gaji semua tepat pada masanya.

“Tetapi, tengok prestasi mereka sangat menyedihkan.

"Tidak padan dengan susah payah cari pitih (wang) kalau bo staro (setakat itu) prestasi pasukan. Apa pun terserah pada KAFA, pengurusan dan pemain, ” katanya.

Annuar yang juga penaja utama TRW musim ini menjelaskan beliau hanya membantu mencari dana setakat termampu dan berharap pihak pengurusan serta exco KAFA melakukan sesuatu untuk menyelamatkan skuad Kelantan.

“Saya hanya boleh bantu cari dana setakat saya mampu. Saya harap pengurusan dan exco KAFA jangan berpeluk tubuh,” katanya.

Sindiran pedas Annuar boleh difahami memandangkan TRW dalam aksi Liga Super dibelasah 5-0 oleh Kedah di Stadium Darulaman yang menyaksikan mereka menghampiri zon penyingkiran dengan berada di tangga kesembilan.

Lebih memalukan, Sabtu lepas, TRW tewas 2-0 kepada skuad UiTM dalam saingan Piala Malaysia yang menyaksikan peluang ke peringkat suku akhir semakin pudar.

Malam esok, TRW sekali lagi akan turun menentang Melaka United (MU) dalam misi wajib menang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sambil mengharapkan penyokong setia kembali memberi sokongan padu.

Kemenangan akan mencerahkan kembali peluang Kelantan ke suku akhir, sebaliknya kekalahan pasti meningkatkan tekanan ke atas ketua jurulatih, Zahasmi Ismail.