"Fokus saya kini mahu segera kembali beraksi dan saya gembira kemelut ini semakin ke penghujungnya," itu luahan bekas pemain import Kuantan FA, Andrezinho da Silva, terhadap keputusan Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan Kuantan FA melunaskan gaji tertunggak kesemua 24 pemainnya.

Jawatankuasa Status Pemain FAM yang bersidang pada 14 Mei lalu memberikan tempoh sebulan kepada Kuantan FA untuk melangsaikan gaji tertunggak kesemua 24 pemainnya.

Bagi Andrezinho, ia adalah perkembangan positif yang amat dialu-alukannya selepas sebelum ini tidak dibayar sebarang gaji sejak awal musim bersama Kuantan FA.

Dia turut berterima kasih kepada pentadbir Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL), yang turut membantunya ketika berada dalam situasi sukar.

"Keputusan ini baik untuk pemain, termasuk kelab.

"Selepas tiga bulan tidak mendapat gaji, saya rasa sudah cukuplah semua orang bersabar.

"Apapun, MFL banyak membantu kerana setidak-tidaknya membantu menjelaskan separuh daripada gaji kami yang tertunggak," kata Andrezinho.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) serta PDRM ini mengakui ada menerima tawaran daripada sebuah pasukan Liga Super dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat ini.

Meskipun terpaksa melalui pengalaman pahit bersama Kuantan FA musim ini, pemain kelahiran Brazil ini tetap mahu mengerah kudrat dalam saingan Liga M musim depan dan tidak berasa serik untuk terus beraksi di Malaysia.

"Saya tidak fikir akan berbuat demikian. Ada individu dalam pengurusan kelab ini yang bagus, namun disebabkan kekurangan pengalaman, bayaran kami tidak dapat dilunaskan tepat pada masanya," katanya lagi.