B-22 MALAYSIA 1 BRUNEI 0

Jentera serangan kurang berbisa menjadi penghalang buat skuad B-22 negara untuk mencipta kemenangan lebih besar apabila membenam Brunei Darussalam 1-0 dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.

Selepas meledak dua jaringan ke atas pasukan yang sama kelmarin, Syafiq Ahmad sekali lagi muncul wira buat pasukan bimbingan Frank Bernhardt itu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-10.

Berselang seminit selepas itu, Mohd Daniel Ashraf Abdullah pula gagal memanfaatkan peluang menarik di depan pintu gol Brunei dengan percubaan yang tidak tepat.

Hajat Syafiq untuk meneruskan permainan lebih lama terbantut apabila dia terpaksa dikeluarkan sebelum babak pertama berakhir akibat kecederaan dan tempatnya digantikan oleh Jafri Firdaus Chew.

Pasukan B-22 Malaysia memperkemaskan aksi mereka pada babak seterusnya untuk menguasai permainan dengan lebih baik dan hasilnya, deretan peluang menarik berjaya dicipta.

Pada minit ke-78, Daniel Ashraf kurang tenang ketika menyambut bola di dalam kotak penalti sehingga rembatannya tersasar.

Jafri memiliki tiga detik terbaik untuk menggegar gawang lawan, namun selain daripada dua daripada percubaan itu meliar, sepakan percumanya pula sempat ditepis keluar oleh penjaga gol Brunei, Wardun Yussof.

"Kami memulakan permainan dengan empat pemain baru berbanding perlawanan sebelum ini akibat kecederaan.

"Kami juga terpaksa membuat pertukaran semasa permainan, ini menyebabkan kami gagal mempamerkan rentak sebenar selain sukar mencipta lebih banyak peluang.

"Inilah sebenarnya kami hanya menjaringkan satu gol," ulas ketua jurulatih B-22 negara, Bernhardt.

Kredit imej: OfficialHarimauMalaysia