Skuad Hang Tuah bakal bertemu Sarawak FA bagi saingan Liga Super di Stadium Negeri Petra Jaya, Sarawak, malam ini.

Setakat ini Melaka United masih belum memperoleh kemenangan dan giat memburu mangsa untuk melunaskan misi tiga mata.

Penyerang Melaka United, Amri Yahyah begitu optimis mahu membantu skuad Hijau Putih untuk meraih kemenangan pertama Liga Super menentang “Si Bujang Senang” malam ini dengan bersiap siaga untuk diletakkan di mana-mana posisi.

"Saya tidak kisah bermain dalam posisi mana sekalipun asalkan dapat membantu pasukan Melaka United menang pada aksi Liga Super’’,

"Saya hanya akan ikut apa yang diarahkan Williams dan bersedia diletakkan di mana-mana sahaja," kata Amri ketika dihubungi.

Kapten pasukan kebangsaan itu juga turut menyatakan, Melaka United tidak boleh leka atau berlengah-lengah lagi dan segera memperbaiki kedudukan pasukan di carta liga.

Melaka United berjaya mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan kompetetif musim ini dalam aksi pusingan kedua Piala FA selepas menundukkan PKNS FC, 1-0 di Stadium Hang Jebat, Selasa lalu.