Penyerang Selangor, Mohd Amri Yahyah, memberi bayangan tidak akan bersama skuad Gergasi Merah itu dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, @ratu_amri, pemain berusia 38 tahun itu menzahirkan terima kasih kepada pengurusan baru dan lama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) atas peluang serta kerjasama sepanjang menyarung jersi negeri kelahirannya itu.

"Berakhir sudah sesi 2019. Kita hanya merancang, Allah jua yang tentukan. Ibarat sirih pulang ke gagang tapi terhenti di tengah jalan. Bukan kacang lupakan kulit, begitu jua istilah lupa daratan. Pasti ada hikmahnya dalam setiap kejadian.

"Terima kasih kepada pengurusan baru FAS (kerana) selama ini memberikan kerjasama. Banyak (yang) perlu diperbaiki dan dipelajari.

"Setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih buat pengurusan lama FAS yang mencungkil bakat semula jadi yang ada pada diri saya dan hampir merealisasikan impian saya untuk menghabiskan sisa kudrat untuk berbakti kepada negeri kelahiran saya. Hanya Allah dapat membalas budi dan jasa baik kalian," tulisnya.

Bekas penyerang kebangsaan itu, yang sebelum ini berhasrat untuk terus kekal beraksi bersama Selangor sehingga umur 40 tahun, turut merakamkan penghargaan kepada peminatnya.

"Kepada yang sentiasa menyokong saya dari bermulanya kerjaya saya sebagai seorang pemain bola sepak hinggalah ke saat ini, terima kasih. Sokongan anda semua akan saya abadikan sebagai kenangan terindah.

"Kepada 'peminat gelap' saya, kerana andalah saya masih ada di sini. Terima kasih atas segala kata-kata 'pemberi semangat'," tambahnya yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2014 hingga 2016.

Sepanjang bersama Selangor, Amri telah membantu skuad Gergasi Merah menjulang pelbagai trofi kejuaraan, antaranya Piala Sumbangsih 2002, 2009, 2010; Liga Super 2009, 2010; Liga Perdana 2005; Piala Malaysia 2002, 2005 serta Piala FA 2001, 2005 dan 2009.

Namanya turut terpahat dalam sejarah bola sepak Selangor sebagai salah seorang legenda yang mempunyai rekod penampilan terbanyak dengan lebih 400 penampilan serta telah meledak lebih 100 gol buat pasukan.

-- BERNAMA