Pemain senior skuad The Red Warriors (TRW), Amiridzwan Taj Tajuddin, kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang terus meminggirkan beliau dan rakan pasukannya, Mohd Badhri Mohd Radzi, untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Amiridzwan berkata tindakan KAFA itu boleh ‘membunuh’ karier mereka sebagai pemain bola sepak kerana tidak diberi peluang untuk terus membuktikan kemampuan.

"KAFA dan jurulatih tidak boleh bertindak seumpama ini kerana kami masih lagi mempunyai kontrak bersama pasukan… setidak-tidaknya panggil kami menjalani latihan bersama pasukan.

"Saya dan Piya (Mohd Badhri) beraksi hanya pada separuh musim kerana KAFA gantung (simpan) kami. Perkara ini akan memberi kesan kepada prestasi kami," katanya ketika ditemui pemberita dalam Kejohanan Futsal Kolej Komuniti Kelantan di KB Arena Futsal di Pengkalan Chepa, hari ini.

Pasukan TRW, ketika di bawah kendalian jurulatih import dari Syria, Fajr Ibrahim, bertindak melakukan rombakan terhadap pasukan itu, termasuk menggugurkan beberapa pemain berpengalaman, antaranya Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Hamid dan Mohd Nor Farhan Mohammad.

Amiridzwan berkata tindakan itu juga akan menyukarkan mereka mencari pasukan lain yang boleh memberi peluang kepada pemain untuk beraksi dalam saingan Liga M musim depan.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika ada sebarang unsur 'dipermainkan’ oleh pengurusan KAFA.

“Namun saya percaya masalah itu boleh dibincangkan dengan lebih lanjut dan kita bersama-sama mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amiridzwan mendakwa beliau dan Mohd Badhri tidak menerima bayaran gaji selama dua bulan walaupun masih mempunyai kontrak bersama TRW.

“Setakat ini, hanya gaji bagi April dibayar separuh manakala kami berdua masih belum menerima bayaran bagi Mei dan Jun,” katanya.

-- BERNAMA