Kemenangan 2-0 ke atas PKNP menawarkan petanda positif buat Melaka United untuk meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super.

Selepas meraih tiga mata ke atas PKNP, Melaka melonjak ke tangga keempat liga dengan sembilan mata dan hanya dibezakan dengan satu mata berbanding dua pasukan dalam kelompok tiga teratas.

Pengendali Melaka, Eduardo Almeida, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya serta menyifatkan Stadium Hang Jebat sebagai laman keramat buat mereka.

Bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah apabila beraksi di laman sendiri dalam saingan Liga Super, dua aksi sebelum PKNP bertemu Kelantan dan Negeri Sembilan juga berkesudahan dengan kemenangan.

Meskipun tidak meraih kemenangan dengan corak permainan menyerang, perkara paling penting adalah tiga mata dan menjadikan kunjungan lawan ke Melaka berakhir dengan mimpi ngeri.

"Kami berhak meraih mata yang dimenangi setakat ini.

"Ia meletakkan kami di tangga keempat, saya sangat gembira dengan pasukan saya.

"Kami sedar PKNP sebuah pasukan mantap dan memiliki semangat juang dan karakter.

"Meskipun tidak memperagakan aksi memberangsangkan, adalah penting untuk kami mempamerkan sikap yang bagus.

"Biarpun kami tidak mempamerkan aksi yang begitu menarik, namun kami bermain untuk menang," kata Almeida.