Melaka United memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menidakkan PKNP FC 2-0 daripada menghampiri kelompok atasan Liga Super, malam tadi.

"Matlamat kami adalah tiga mata.

"Kami melakukan apa yang patut untuk menang.

"Sudah pasti saya gembira kerana kesemua pemain bekerja keras setiap hari untuk mencapai keputusan ini," kata jurulatih Melaka, Eduardo Almeida, selepas anak buahnya menghuni tangga keempat.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan bersandarkan kepada prestasi sama, enam mata selepas empat aksi liga.

Bagaimanapun, PKNP mengambil inisiatif untuk menyerang terlebih dahulu sehingga memaksa Melaka untuk bertahan.

Tidak hairanlah benteng PKNP terkilan kerana memberikan ruang buat Yahor Zubovich membuka tirai jaringan pada minit ke-14.

Ketinggalan satu jaringan, PKNP makin terdesak untuk mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua.

Pendekatan itu memakan diri apabila Zubovic menggandakan kedudukan bagi memutlakkan kemenangan Melaka, empat minit sebelum permainan berakhir.

"PKNP pernah mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan mereka, saya nampak perbezaan pada malam ini.

"Nampaknya penyerang mereka sudah mula menemui sentuhan.

"Zubovich konsisten menjaringkan gol. Perbezaan malam ini adalah penyudah dan kelekaan benteng PKNP. Kami dihukum dengan gol-gol mudah," kata jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.