AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, memeterai perjanjian untuk menjadi syarikat penerbangan rasmi eksklusif Liga Malaysia (Liga-M) 2019-2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia menegaskan syarikat penerbangan itu akan menyokong pasukan-pasukan Liga Malaysia yang beraksi dalam Piala Malaysia, Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA dengan diskaun tambang untuk perkhidmatan di seluruh Malaysia dan rantau ini.

AirAsia akan turut mempunyai hak untuk menjual tiket perlawanan, sama ada secara sendirian atau tawaran pakej penerbangan atau hotel menerusi airasiaredtix.com.

"Bola sepak antara perkara yang amat saya minati dan kecintaan saya terhadap sukan menarik ini turut menembusi seluruh AirAsia.

"Ketika ini, kami menaja Liga Remaja KL AirAsia untuk meningkatkan bola sepak dalam kalangan belia di Lembah Klang. Kami juga mempunyai pasukan remaja kami sendiri, iaitu PJ Rangers FC.

"Terbaru, kami menyediakan penerbangan sewa khas bagi peminat Harimau Malaya untuk menonton aksi separuh akhir Piala AFF, masing-masing di Bangkok (Thailand) serta Hanoi (Vietnam)," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau menegaskan perjanjian dengan MFL merupakan peluang menakjubkan bagi AirAsia untuk terus menyokong bola sepak Malaysia.

"Kami berasa bangga kerana dapat memainkan peranan dalam memberi inspirasi kepada generasi baru yang menyimpan impian dan kami mahu menjadikannya sebagai suatu kenyataan buat pemain, pasukan dan akhirnya, peminat.

"Kami mengalu-alukan kedatangan wira kami dan peminat mereka untuk menaiki pesawat kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, berharap hasil perkongsian dengan AirAsia, senario bola sepak tempatan akan terus meningkat ke tahap lebih tinggi.

"Saya begitu teruja apabila pemain kita yang beraksi dalam liga ini akan terbang dengan AirAsia ke venue perlawanan mereka.

"Jarang sekali kita dapat lihat sebuah syarikat Malaysia melakar nama yang begitu besar, apatah lagi untuk muncul sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia selama 10 tahun berturut-turut.

"Dan saya rasa kita semua boleh berbangga dengan apa yang dicapai oleh Tony dan pasukannya,” katanya.

-- BERNAMA