Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, tidak menganggap prestasi merudum Melaka sebagai kelebihan buat skuad Lang Merah itu, sebaliknya bimbang dengan kebangkitan yang akan dilakukan lawan berkenaan dalam pertemuan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Kedah berkunjung ke Melaka dengan membawa rekod dua kemenangan berturut-turut.

Ia meletakkan skuad bimbingan Aidil Sharin itu sebagai pasukan pilihan berbanding Melaka yang tewas empat kali dalam lima perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, pengendali dari Singapura itu menyuarakan pandangan berbeza dengan menegaskan anak buahnya perlu lebih berwaspada dengan situasi berkenaan.

"Kebiasaannya, apabila sesebuah pasukan tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir, mereka akan mencari momentum kemenangan.

"Jadi, kami tidak boleh mengambil mudah dan fokus untuk mengekalkan cara permainan kami.

"Kami tidak perlu risau bagaimana permainan mereka kerana apa yang penting adalah kami tidak boleh melakukan kesilapan, terutama di bahagian benteng, dalam tempoh 30 minit pertama.

"Tempoh itu sangat penting dan apabila kami sudah mendapat momentum yang baik, kami akan mendapatkan keputusan yang baik," katanya.

Aidil sebelum ini tidak dapat menyertai perlawanan Kedah kerana mengikuti Kursus Kejurulatihan Profesional Diploma AFC di ibu negara.

Sudah pasti kehadirannya mampu menyuntik semangat pemain bagi mengekalkan momentum kemenangan dalam Liga Super.

"Setakat ini, mereka memaparkan semangat yang tinggi dan tidak sabar untuk beraksi.

"Bagaimanapun, Melaka lebih segar berbanding kami, namun itu bukan alasan," tambahnya.