"Saya akan berikan yang terbaik. Saya mahu bantu Sarawak menang dan meningkat dalam kedudukan liga," kata penyerang muda Sarawak yang kini sedang mencipta nama, Abdul Rahim Abdul Razak.

Rahim, 22, yang dipanggil "Ahim" dalam kalangan rakan-rakannya merupakan antara bintang muda yang berjaya digilap pengendali Bujang Senang, David Usop, musim ini.

Naik secara mendadak daripada skuad Piala Presiden, Rahim dan dua rakannya, Tommy Mawat Bada serta Nur Syahmie Iszuan, sentiasa berada dalam skuad utama sejak tahun lalu.

Malah, penampilan pertamanya dalam aksi Liga Super pantas mencuri tumpuan apabila berjaya mencipta dan merancang peluang dengan baik.

Biarpun merupakan muka baharu di pentas Liga Super, pemain yang berketinggian 1.7 meter itu memiliki keberanian, kelajuan dan kepintaran yang menggerunkan pertahanan lawan.

"Beri dia tempoh tiga tahun... Rahim bakal muncul sebagai penyerang yang disegani di negara ini," kata David.

Bagaimanapun, bekas penyerang skuad bawah 19 tahun negara itu tetap merendah diri sambil mengakui banyak lagi yang perlu dipelajari.

"Saya berterima kasih kepada David yang memberi begitu banyak peluang dan yang paling penting, menaruh kepercayaan kepada saya.

"David juga banyak membantu meningkatkan corak permainan saya selain bantuan daripada rakan-rakan lain, termasuk pemain import," katanya lagi.

Setakat ini, Rahim merupakan aset penting Sarawak yang berjaya mencetak dua gol, masing-masing satu ketika Liga Super dan Piala FA.