Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, bersedia mencari pengganti Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sekiranya pemain itu berhijrah ke pasukan lain bagi musim 2019.

Shahrel kembali ke pangkuan PKNP selepas khidmatnya bersama kelab Liga Thailand, Nakhon Ratchasima, tidak disambung untuk musim baharu.

Begitupun, aksinya mencuri tumpuan beberapa pasukan dengan Perak dilihat menjadi pilihan utama bagi mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu.

Mengulas situasi itu, Abu Bakar menjelaskan beliau tidak akan menghalang Shahrel untuk ke pasukan lain, sebaliknya bersedia mencari pengganti.

"Apabila prestasi meningkat, ia adalah cabaran buat pemain tersebut dan saya sentiasa memberikan sokongan buat Shahrel jika dia mahu beraksi bersama Perak. PKNP sedia mencari pengganti," katanya.

Sementara itu, Abu Bakar turut menyambut baik langkah pihak pengurusan PKNP untuk menjadikan Stadium Manjung sebagai gelanggang rasmi mereka bagi musim 2019.

Sebelum ini, skuad 'The Juggernaut' itu menggunakan Stadium Perak di Ipoh yang turut digunakan oleh pasukan negeri itu bagi kempen Liga Super serta Piala Malaysia.

Dua aksi persahabatan menentang Selangor dan UiTM FC sebelum ini menyaksikan sambutan memberangsangkan di Stadium Manjung.

"Penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di Manjung sangat baik dan saya sangat gembira apabila stadium tersebut menjadi tuan rumah buat PKNP."