Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, bingung dengan situasi Zafuan Azeman yang secara tiba-tiba mengundurkan diri daripada pasukan itu selepas hanya 72 jam menandatangani kontrak.

Abu Bakar, yang hanya mendapat pesanan ringkas (SMS) semalam, menjelaskan Zafuan tidak dapat memberikan komitmen kepada pasukannya kerana berdepan masalah berkaitan keluarga.

Ia situasi yang mengecewakan Abu Bakar memandangkan Zafuan sebelum ini merayu-rayu untuk menyertai PKNP FC selepas tidak dapat peluang beraksi dalam skuad Pulau Pinang.

Zafuan mencetuskan kontroversi apabila menjadi pemain yang bertukar tiga pasukan dalam tempoh tiga bulan sepanjang musim baru ini, bermula dengan Perlis pada Januari lalu.

"Saya menerima SMS daripada pegawai saya yang menyatakan dia mempunyai masalah peribadi.

"Apabila saya periksa, dia rupa-rupanya mahu menarik diri daripada pasukan ini kerana belum bersedia untuk bermain dalam Liga Super.

"Bagi saya, ia merupakan kerugian buat dia," katanya.

Dalam masa sama, Abu Bakar berjaya mendapatkan pemain kebangsaan Filipina, Amani Aguinaldo, bagi memantapkan benteng pertahanan PKNP FC.

"Dia akan melakukan penampilan pertamanya esok dan saya berharap dia dapat menguatkan benteng pertahanan kami yang sedikit bergelut sebelum ini," tambahnya.