Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menyifatkan pencalonannya bagi kategori Jurulatih Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 di Hotel Tenera, Bangi esok merupakan satu pemangkin semangat untuk dirinya mencipta lebih kejayaan bersama skuad Gergasi Merah itu musim depan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu, yang sah terus mengendalikan Selangor musim depan, menjelaskan pencalonan tersebut adalah berkat kesabarannya membimbing skuad Gergasi Merah yang melalui detik penuh mencabar dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengendali berusia 61 tahun itu, bagaimanapun, tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi anugerah Jurulatih Terbaik memandangkan dua calon lain, iaitu ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, dan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, turut melakar keputusan positif bersama pasukan masing-masing.

“Saya seorang yang hidup dalam realiti dan bukan suka berangan-angan. Saya memang tidak berapa yakin untuk menang kali ini kerana Aidil Sharin dan Dollah mempunyai peluang lebih besar.

“Aidil Sharin membawa Kedah muncul juara Piala FA selain ke final Piala Malaysia dan meraih tangga keempat Liga Super manakala Dollah membawa Pahang sebagai naib juara Liga Super selain ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Untuk rekod, Sathianathan pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik sebanyak tiga kali, iaitu ketika bersama Kelantan pada 2010, diikuti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dua tahun kemudian dan kali terakhir bersama Felda United pada 2017.

Berkongsi pandangan sama adalah Dollah yang tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi anugerah itu yang kali terakhir dimenangi pada 2013 selain menjangkakan Aidil Sharin merupakan calon terbaik untuk menerimanya berdasarkan reputasi cemerlang yang dilakar jurulatih kelahiran Singapura itu bersama skuad Lang Merah musim ini.

"Sudah banyak kali saya sentiasa tercalon, cuma kali terakhir saya menang ialah pada 2013. Sudah agak lama juga, iaitu dekat enam tahun, namun peluang untuk saya menang agak tipis kerana saya berasakan Aidil Sharin orang yang lebih layak selepas membawa Kedah dua kali ke final dan berjaya memenangi Piala FA,” kata Dollah yang pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2014 hingga 2015.

Aidil Sharin pula sudah melahirkan rasa bersyukur kerana tercalon dalam senarai akhir tiga jurulatih terbaik dan tidak meletakkan sebarang sasaran khusus memandangkan musim ini adalah kali pertama beliau mengendalikan pasukan Liga-M.

“Saya rasa bersyukur selepas tercalon dalam senarai tiga jurulatih terbaik bersama pesaing-pesaing yang cukup hebat dan saya tidak kisah menang atau tidak,” kata \bekas pengendali kelab Singapura, Home United itu.

-- BERNAMA