Johor Darul Ta'zim (JDT) mendominasi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 apabila mengungguli enam kategori yang diterajui Safawi Rasid apabila mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP).

Kemenangan itu diumumkan Presiden PKNS FC, ‎Siti Zubaidah Abdul Jabar, sambil diiringi Timbalan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu turut membawa pulang gelaran Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular dalam majlis anugerah berkenaan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, sebentar tadi.

Kecemerlangan membantu Harimau Selatan meraih gelaran Liga Super dan Piala Malaysia menyaksikan Farizal Marlias serta ketua pasukan kelahiran Singapura, Hariss Harun, turut mempertahankan gelaran Penjaga Gol dan Pemain Import ASEAN Terbaik.

Selain itu, Akhyar Abdul Rashid pula memenangi Pemain Muda Harapan manakala Pemain Import Terbaik jatuh kepada penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo, setelah menyumbat 12 gol dalam Liga Super selain satu gol dalam Piala FA.

Ketua pasukan Perak, Shahrul Saad, muncul pemenang Anugerah Pertahanan Terbaik buat musim kedua berturut-turut sementara penyerang berusia 32 dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega, pula diumumkan pemenang Anugerah Kasut Emas selepas menyumbat 21 gol dalam semua pertandingan.

Dalam masa sama, pengendali Pahang, Dollah Salleh, yang kali terakhir meraih gelaran pada 2013, kembali diangkat sebagai Jurulatih Terbaik dan Pemain Tengah Terbaik dimenangi anak buahnya yang juga pemain kebangsaan, Mohamadou Sumareh.

KEPUTUSAN LAIN:

Pasukan Terbaik: JDT

Penyokong Terbaik: JDT

Pemain Terbaik Liga M3: Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (Kelantan United FC)

Pasukan Terbaik Liga M3: Armed Forces FC

Anugerah Mesra Media: B. Sathiananthan (Selangor)

Anugerah Fair Play: Terengganu FC II

Media Sosial Terbaik: JDT

Laman Sesawang Terbaik: johorsoutherntigers.com.my

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super): Safawi Rasid (8) JDT

Penjaring Terbanyak (Liga Super): Kpah Sherman (14) PKNS FC

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Perdana): Bobby Gonzales (9) Sarawak

Penjaring Terbanyak (Liga Perdana): Zarko Korac (13) UiTM FC

Anugerah Pengadil Berpotensi: Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah

Anugerah Komuniti: The Ohana Project

Anugerah Persahabatan: Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David

KESEBELASAN PILIHAN PENYOKONG

Jurulatih: Aidil Sharin Sahak (Kedah)

Penjaga Gol: Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pertahanan
Rizal Ghazali (Kedah), Shakir Hamzah (Kedah), Renan Alves (Kedah), La’ Vere Corbin Ong (JDT)

Pemain tengah:
Lee Tuck (Terengganu FC)
Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Brendan Gan (Perak)

Penyerang
Safawi Rasid (JDT)
Diogo Luis Santo (JDT)
Akhyar Abdul Rashid (JDT)